Apakah ISO 9000


 
  1. Apakah itu ISO 9000 ?

  2. ISO 9000 telah ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Organisasi Penyeragaman Antarabangsa (International Organization for Standardization) di Geneva. Sehingga kini, lebih daripada 90 buah negara telah mengamalkan ISO 9000 sebagai asas panduan di dalam sistem pengurusan kualiti. ISO merupakan sebuah badan bersekutu yang menggabungkan organisasi dari seluruh dunia yang bertanggungjawab mewujudkan standard di negara masing-masing. Pewujudan ISO 9000 bertujuan memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh negara-negara ahli diiktiraf di peringkat antarabangsa (global acceptance). ISO 9000 merupakan satu standard rujukan yang menetap dan menerangkan prinsip-prinsip asas yang perlu ada dalam sistem kualiti bagi memastikan setiap perkhidmatan yang diberikan oleh sesebuah organisasi dapat memenuhi kehendak serta memenangi hati setiap pelanggan. Perlaksanaan standard bagi sistem ini akan memastikan bahawa produk serta perkhidmatan yang dihasilkan bertepatan dengan spesifikasi yang telah ditetapkan untuk produk atau perkhidmatan tersebut.

    Di dalam perlaksanaan ISO 9000 ada empat prinsip penting yang harus dititikberatkan.
    Pertama, ISO 9000 adalah standard bagi sistem kualiti dan bukannya standard untuk perkhidmatan atau produk yang dihasilkan. Standard untuk produk tersebut menetapkan ciri-ciri bagi produk berkenaan.
    Kedua, ISO 9000 adalah berbentuk dokumentasi iaitu dokumenkan apa yang dibuat, kemudian buat apa yang didokumenkan dan seterusnya buktikan.
    Ketiga, ISO 9000 memberi penekanan kepada pencegahan dan bukan kepada penyelesaian masalah.
    Akhir sekali, ISO 9000 adalah satu standard antarabangsa kerana ianya hanya menggariskan keperluan-keperluan asas sahaja. Dengan kata lain, ia hanya menghuraikan apa yang perlu diadakan dan tidak bagaimana hendak membuatanya.
    Sebahagian daripada Pegawai Kanan Kerajaan yang menghadiri "Seminar ISO 9000 Untuk Pengurusan Atasan" di Kuching baru-baru ini

    ISO 9000 dan TQM : Apakah Hubungan Diantaranya ?

    TQM adalah satu proses pengurusan kualiti yang berpandukan falsafah kualiti yang berorientasikan pelanggan, beroperasi secara berterusan, melibatkan semua aspek dalam organisasi dan memberi penekanan kepada kerja berpasukan. Antara aspek-aspek utama organisasi yang menjadi tumpuan TQM ialah aspek sokongan pengurusan, perancangan strategik kualiti dan pengurusan proses. Sementara itu, ISO 9000 menyediakan asas yang kukuh bagi perlaksanaan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM). Ia memberi penekanan kepada aspek-aspek yang terdapat dalam TQM, terutamanya dari segi aspek pengurusan proses. Sistem kualiti dan sistem kepastian kualiti yang diwujudkan melalui perlaksanaan ISO 9000 akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan proses yang diberi tumpuan oleh TQM. Dengan demikian, perlaksanaan ISO 9000 boleh memantapkan usaha-usaha ke arah perlaksanaan TQM.
     

    Adakah ISO 9000 Dalam Perkhidmatan Awam Perlu ?

    Di dalam matlamat kita untuk menjadi sebuah negara perindustrian, tenaga-tenaga profesional terutama sekali pihak pengurusan amatlah diperlukan di dalam rancangan kerja yang lebih strategik. Di samping itu, kekurangan tenaga profesional sedikit sebanyak telah menimbulkan kebuntuan kepada jentera pembangunan kerajaan. Untuk menggunakan tenaga profesional yang kita sedia ada dengan optimanya, kerajaan telah mengesyorkan agar agensi-agensi kerajaan mengamalkan ISO 9000. Dengan perlaksanaan program ini beberapa feadah dapat diperolehi termasuklah: mengelakkan serta mengurangkan kerja-kerja pembetulan yang membabitkan pihak pengurusan misalnya dalam aktiviti operasi harian organisasi. Ini kerana semua kakitangan telah diperuntukkan dengan garis panduan serta konsep kerja yang tepat dan lengkap. membolehkan organisasi mengenalpasti tugas-tugas yang bakal dilakukan serta mengkaji setiap langkah yang akan diambil. Ini dilakukan melalui perancangan yang sistematik sebelum melaksanakan sesuatu tugas dengan penyediaan prosedur, standard serta garis panduan bagi membantu kakitangan mengenalpasti tugas yang sebenarnya. membantu dalam keadah penyimpanan maklumat yang teratur mengenai sistem pengurusan serta cara-cara bekerja yang kemaskini yang boleh dijadikan asas kepada program latihan dan peningkatan prestasi kerja. mengenalpasti, mengatasi serta mengelakkan segala masalah yang berulang. Ini dilakukan dengan mewujudkan langkah-langkah bagi mengenalpasti tindakan-tindakan yang tidak mematuhi amalan-amalan serta spesifikasi yang telah ditetapkan. membolehkan organisasi membuktikan kepada pihak yang membuat penilaian ke atas organisasi tersebut tentang kualiti produk dan sistem perkhidmatan yang dihasilkan. membolehkan pihak pengurusan membuat keputusan dengan lebih tepat berdasarkan maklumat-maklumat penting hasil daripada audit dalaman, semakan pengurusan dan kawalan maklumat. membolehkan kakitangan melakukan kerja-kerja mereka dengan betul pada kali pertama dan seterusnya. Ini dilakukan dengan mengamalkan arahan tugas, kawalan yang berkesan, sumber maklumat yang cukup, latihan, dorongan serta persekitaran kerja yang memberangsangkan.
     
    disediakan oleh KiNet
     

Kembali ke Index Bahan Bacaan/ Panduan Am drbbi HOME PAGES
 
direkacipta menggunakan Netscape Composer - Netscape Communicator Professional Edition 4.0
Anda TIDAK MENGHADAPI MASALAH sekiranya menggunakan Netscape 4.0 dan Internet Explorer 3.02

Copyright © 1998, ..drbbi98 AISAMUDDIN
direkacipta pada 10 Ogos 1998
dikemaskini pada 20 Oktober 1998